suria

Di Institusi Pengajian Tinggi Australia, Tidak Ada Asrama Yang Disediakan

MINGGU kemasukan pelajar-pelajar baru bagi universiti-universiti di seluruh Australia sudah pun berlalu. Kesibukan hari pendaftaran tidaklah terasa begitu meriah seperti mana di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Terimbau saya akan kekecohan suasana jika hari pendaftaran pelajar berlaku di Malaysia. Bahangnya terasa dari keluar rumah di pagi hari, apabila berlaku kesesakan lalulintas yang amat luar biasa, ditambah dengan tiadanya tempat meletak kenderaan di universiti yang menyebabkan ramai kakitangan lewat untuk masuk kerja.

Akan tetapi, suasana amat berbeza sekali di sini. Tidak semeriah suasana di Malaysia. Yang paling ketara, tiada ibubapa datang menghantar, meramaikan lagi tempat yang sememangnya sudah padat, melekat sepanjang masa berbangga dengan anak tersayang yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

Kekuatan ekonomi Australia banyak bergantung kepada kekuatan institusi pengajian tinggi mereka untuk menarik pelajar asing datang ke Australia. Kebanyakan institusi ini didominasi oleh pelajar-pelajar dari luar negara. Mereka ini bukan sahaja datang untuk menuntut ilmu, tetapi mereka datang dengan tukaran wang asing yang menjana pendapatan universiti berkenaan.

Universiti juga memperolehi pendapatan dari yuran-yuran pengajian yang berlipat kali ganda mahalnya dari IPT yang terdapat Malaysia. Hampir kesemua universiti di sini, mengendalikan sumber kewangan mereka sendiri tanpa sebarang bantuan dari kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Autonomi sebegini yang menyebabkan para tenaga pengajar di sini seolah-olah melakukan dua kerja pada masa yang sama. Pertama, menjadi tenaga pengajar di dewan-dewan kuliah dan yang kedua mencari sumber pendapatan tambahan untuk menjana penyelidikan.

Hakikatnya, dalam bidang ini, tanpa penyelidikan, maka tidak naik pangkatlah ahli akademik tersebut. Sehinggakan terdapat ahli-ahli akademik bertindak seperti pengemis meminta-minta dari pertubuhan kerajaan mahupun swasta untuk menaja penyelidikan mereka. Seolah-olah taraf akademia yang bekerja di sini seperti melukut di tepian gantang.

Berbalik kepada cerita pendaftaran pelajar tadi, ironinya, kebanyakkan universiti di sini tidak menyediakan asrama untuk para pelajar mereka. Jika ada pun, tempatnya amatlah terhad dan harganya cukup mahal, seolah-olah anda tinggal di hotel gayanya.

Ada juga universiti yang menswastakan penyewaan tempat tinggal kepada syarikat-syarikat tertentu kerana pihak pengurusan universiti enggan menanggung beban pemasalahan yang remeh-temeh yang timbul di asrama.

Berbeza pula keadaannya di Malaysia, asrama penginapan merupakan logistik yang utama, tanpa adanya kemudahan asrama, kemungkinan menyebabkan sesebuah IPT menjunam permohonan kemasukannya. Begitu manjanya para pelajar di Malaysia, serba serbi disediakan.

Bagi pelajar antarabangsa di sini, kebanyakan mereka diuruskan oleh pelajar-pelajar senior. Lazimnya mereka ditempatkan di rumah-rumah pelajar lama sehinggalah mereka boleh bertapak sendiri.

Tiada bezanya dengan pelajar-pelajar dari Malaysia. Setiap kali tibanya Februari, ia merupakan detik-detik terindah buat warga Malaysia di Australia apabila mereka menerima kehadiran lebih kurang 500 orang pelajar baru dari seluruh pelusuk tanah air.

Kehadiran pelajar-pelajar dari pelbagai bidang dan latar belakang ini telah disambut baik oleh “senior”, apatah lagi tidak pernah timbul soal ragging di sini.

Pelajar-pelajar baru dibantu dalam pengurusan hal-hal domestik, pendaftaran universiti dan sebagainya melalui sistem ‘buddy’ seakan-akan sistem mentor di Malaysia, cuma ia lebih berbentuk informal.

Adalah diharapkan agar segala nasihat, kemesraan dan kasih sayang antara pelajar baru dan lama sepanjang tempoh sambutan pelajar baru ini dapat dikekalkan dalam usaha berterusan membina sebuah generasi harapan.

Bagi saya pula, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru yang akan menempuh alam pembelajaran dan penyelidikan di universiti baru masing-masing. Kedatangan saudara-saudari ke sini pastinya akan memeriahkan lagi bumi Australia ini dengan keunikan diri dan kebijaksanaan minda yang dimiliki.

Janganlah mudah lupa diri, jadilah resmi padi di rantau orang, semakin berisi, semakin menunduk.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain