suria

BN Perlu Tingkatkan Usaha Menangi Kerusi Di Bandar - Najib

KUCHING: Barisan Nasional (BN) perlu meningkatkan usaha untuk memenangi kerusi di bandar-bandar pada pilihan raya negeri Sarawak Sabtu ini memandangkan calon yang diketengahkan adalah baik dan hebat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"...(BN) kena kerja lebih daripada biasa. Kita mempunyai calon yang baik dan hebat untuk menang," kata Perdana Menteri. Najib berkata tidak dinafikan bahawa kemampuan BN untuk memenangi kerusi di kawasan bandar merupakan ujian yang terbesar.

Malah pengundi-pengundi di bandar perlu memberi kepercayaan kepada BN untuk menjamin masa depan mereka berdasarkan program transformasi yang sudah mula dilaksanakan, katanya pada sidang berita selepas menghadiri program bersama rakyat di Sadong Jaya dekat sini, Rabu.

Perdana Menteri berkata untuk mencapai matlamat tersebut memerlukan sokongan menyeluruh.

"Kita sudah memperkenalkan gagasan 1Malaysia, satu pendekataan semua kaum akan mendapat pertimbangan adil," katanya.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN kalah sembilan kerusi, termasuk beberapa kerusi di bandar iaitu Pending, Pandungan, Kota Sentosa dan Batu Lintang.

Najib yang tiba di sini malam tadi untuk lawatan kerja selama empat hari hingga Jumaat ini, telah memulakan program bertemu rakyat di pekan Pusa, Serian pada sebelah pagi ini sebelum melawat ke pekan Sebuyau. -BERNAMA

Artikel Lain