suria

PGM Semporna Rampas 9,500 Liter Minyak Petrol

SEMPORNA: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Semporna merampas 9,500 liter petrol bernilai RM49,785 dipercayai bersubsidi ketika cuba diseludup keluar dari negara ini dalam operasi Octopus di Kampung Bangau-bangau semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Semporna, Mat Zawawi Mat Yaacob berkata minyak petrol berkenaan dirampas ketika ia sedang dipunggah ke dalam sebuah bot di jeti Kampung Bangau-bangau.

"Kira-kira jam 10 malam semalam, sepasukan anggota PGM diketuai Kpl Osman bersama tiga anggota menjalankan rondaan di sekitar perairan Bangau-bangau sebelum terlihat beberapa orang sedang memunggah barang ke dalam bot di jeti Kampung Bangau-Bangau.

"Semasa menghampiri bot berkenaan, semua pekerja di jeti itu melarikan diri dan meninggalkan bot berkenaan bersama barangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Katanya selepas diperiksa, pihaknya menjumpai 380 tong (jeriken) dengan setiap tong berkenaan mengandungi 25 liter minyak petrol dalam bot berkenaan.

Turut dirampas ialah dua jenis barangan bersubsidi iaitu 252kg gula pasir, 85kg tepung gandum dan sebuah bot beserta dua unit injin dalam. -BERNAMA

Artikel Lain