suria

Pengawal Keselamatan Edar Ganja Dihukum Gantung

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pengawal keselamatan setelah mendapati dia bersalah mengedar ganja, sembilan tahun lalu.

Hakim Datuk Lim Yee Lan pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pembelaan yang diberikan tertuduh, Shamsuddin Sohan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Shamsuddin, 42, didakwa mengedar ganja seberat 941 gram pada pukul 1.45 pagi, 29 Mei 2002 di hadapan Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, di sini.

Berdasarkan keterangan pada perbicaraan, dadah tersebut ditemui di bahagian hadapan jaket yang dipakai oleh tertuduh selepas motosikal yang ditungganginya ditahan oleh pasukan polis.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib hadir bagi pihak pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam C. Viknesvaran.

Artikel Lain