suria

Musa Wajar Jaga Kepentingan Semua Parti Komponen BN Negeri - LDP

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman wajar melihat kepentingan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri apabila menggunakan hak mutlaknya dalam isu pelantikan anggota Kabinet.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Liew Vui Keong berkata kerajaan negeri kini dibentuk di kalangan parti-parti komponen BN negeri dan tidak seperti sebelum ini.

Sebelum ini, katanya, kerajaan negeri diperintah oleh parti tunggal seperti USNO, Berjaya dan PBS tetap semenjak 1994, kerajaan negeri diwakili oleh parti-parti komponen BN.

Liew berkata demikian kepada pemberita ketika menyangkal kenyataan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa Ketua Menteri mempunyai hak mutlak bagi memilih anggota Kabinet negeri.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, membuat kenyataan itu, Rabu lalu, ekoran rasa tidak puas hati di kalangan beberapa parti komponen BN berikutan pelantikan timbalan presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai, sebagai Timbalan Ketua Menteri pada 23 Mac lalu.

Pelantikan itu membolehkan PBS mempunyai dua timbalan ketua menteri dalam barisan Kabinet negeri.

"Dalam soal ini, kuasa itu bukan mutlak kerana kerajaan negeri tidak lagi diperintah oleh satu parti sahaja," katanya ketika menjawab soalan wartawan pada program bulanan 'Membawa Khidmat Kepada Rakyat' di sini, Ahad.

Dr Yee, yang juga wakil rakyat Api-Api, menggantikan Datuk Peter Pang En Yin, yang kini menyertai parti Gerakan selepas meninggalkan LDP.

Pang digugurkan daripada jawatan itu pada 16 Mac lalu tetapi dikekalkan sebagai Menteri Belia dan Sukan negeri.

Tindakan itu mengakibatkan LDP tidak mempunyai wakil dalam Kabinet negeri.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain