suria

Keadaan Banjir Bertambah Buruk Di Perlis

KANGAR: Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk dengan 1,294 mangsa daripada 349 keluarga dipindahkan ke 19 pusat pemindahan sehingga pukul 2 petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah Kangar dengan 870 mangsa daripada 239 keluarga yang telah dipindahkan.

Sementara 380 mangsa daripada 99 keluarga adalah dari kawasan Padang Besar dan 44 mangsa daripada sebelas keluarga dari kawasan Arau.

Jumlah itu meningkat jauh lebih tinggi berbanding sebanyak 416 mangsa daripada 120 keluarga yang dipindahkan pada pagi Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid bersama Ketua Polis negeri, Datuk Tajuddin Md Isa turut meninjau pusat-pusat pemindahan banjir.

Banjir melanda Perlis sejak Selasa berikutan hujan lebat berterusan bermula Isnin lalu sehingga Rabu.

Sementara itu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mengadakan bilik gerakan dengan menyediakan perkhidmatan membantu mangsa-mangsa banjir menggunakan bot dan lori.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 16 buah sekolah yang terbabit dengan banjir ditutup Rabu dan para pelajar diarah pulang pada pukul 10 pagi.

Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan para pelajar itu berikutan situasi banjir yang sedang melanda Perlis.

Artikel Lain