suria

Penempatan Orang Asli Di Lojing Berdepan Masalah Hakisan Serius

GUA MUSANG: Penempatan Orang Asli di Lojing dekat sini terutama di Pos Sendrop berhadapan dengan hakisan tebing sungai yang serius sejak empat bulan lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Abdul Aziz Yusof berkata, hakisan itu dipercayai berlaku akibat kegiatan pembukaan tanah untuk pertanian yang tidak terkawal serta tidak mengikut peraturan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat tempat hakisan itu di Pos Sendrop di sini Rabu, beliau berkata sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan seperti membina benteng dalam tempoh terdekat, rumah 100 penduduk Orang Asli di kawasan itu berhadapan kemungkinan buruk.

"Hakisan sudah berlaku sejak musim tengkujuh akhir tahun lalu lagi menyebabkan tebing sungai runtuh yang kini semakin menghampiri kediaman penduduk," katanya.

Seorang penduduk Abon Usin, 47, berkata penduduk kini semakin khuatir mengenai keselamatan mereka jika tidak ada langkah segera dilakukan seperti membina benteng di situ.

"Pada musim hujan nanti mungkin rumah kami akan hanyut dan ke mana kami mahu pergi. Kalau hanyut sekali dengan kami macam mana?" katanya. - BERNAMA

Artikel Lain