suria

MIC Yakin 80 Peratus Pengundi India Di Merlimau Akan Undi BN

JASIN: Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam yakin 80 peratus pengundi kaum India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional pada hari pengundian, Ahad.

Katanya, beliau telah berjumpa lebih 70 peratus pengundi dari kaum tersebut setakat ini dan MIC berpuas hati dengan respons yang diberikan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Program Penempatan Pekerjaan (3P) peringkat negeri Melaka di Taman Merlimau Utama, Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata kebanyakan masalah yang dibangkitkan pengundi adalah kecil dan mampu ditangani segera.

MIC juga katanya akan menggiatkan usaha bertemu pengundi walaupun tempoh berkempen hanya berbaki kurang daripada 24 jam.

Seramai 1,569 daripada 10,679 pengundi di Merlimau adalah kaum India, dan Ahad mereka akan memilih wakil rakyat baru sama ada calon BN, Roslan Ahmad, 44, atau calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38.

Mengenai program pada Sabtu, seramai 295 orang berjaya mendapat pekerjaan yang ditawarkan oleh 18 majikan dari pelbagai sektor.

"Manakala 503 orang lagi telah dikenal pasti dan mempunyai peluang untuk ditempatkan dalam mana-mana pekerjaan yang sesuai dengan mereka," katanya.

Sebanyak 3,095 peluang pekerjaan ditawarkan hari ini yang terbahagi kepada pengurusan (214 kekosongan), juruteknik (1,033 kekosongan), perkeranian (169 kekosongan) dan selebihnya sebagai pekerja am. - BERNAMA

Artikel Lain