suria

Pekebun Kelapa Sawit Ditemui Mati Selepas Dua Hari Tidak Pulang Ke Rumah

IPOH: Seorang pekebun kelapa sawit, yang dilaporkan hilang oleh isterinya Ahad lepas selepas dua hari tidak pulang ke rumah, ditemui mati akibat kemalangan di kebun itu di Kampung Felcra Changkat Lada, Parit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, Said Tiran, 66 ditemui terbaring di sebelah motosikalnya di kebun itu pada pukul 10 malam tadi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Selasa.

Beliau berkata, mangsa dikatakan keluar rumah Ahad lepas pada pukul 7 pagi menunggang motosikal bersendirian untuk menghadiri majlis perhimpunan orang-orang Melayu anjuran Perkasa di Kampung Gajah.

Selepas mangsa tidak pulang sehingga lewat malam pada hari yang sama, isterinya membuat laporan polis berhubung kehilangannya, semalam, katanya.

Polis kemudian melancarkan operasi mencari mangsa dengan bantuan penduduk kampung dan Rela dan menemui mangsa terbaring di sebelah motosikalnya di kebun kelapa sawit itu.

Polis percaya mangsa dipercayai terbabas semasa menunggang motosikal melalui jalan di kebun berkenaan,

Kematian mangsa adalah akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain