suria

Kumpulan Hindraf Sengaja Cari Publisiti Burukkan Malaysia

TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap tindakan kumpulan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengadakan demonstrasi di ibu kota pada Ahad, adalah semata-mata untuk memburukkan Malaysia melalui media antarabangsa.

Beliau berkata, kumpulan itu amat berharap polis menggunakan kekerasan terhadap mereka supaya kerajaan Malaysia dilihat sebagai sebuah kerajaan yang zalim dan rejim autokratif.

"Kita tak nak guna kekerasan, mereka mengharapkan kita guna kekerasan supaya mereka nak terokai melalui televisyen antarabangsa yang menunjukkan kononnya kita sebuah rejim autokratif dan sebagainya, itulah niatnya yang sebenar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Felda Jengka 25 di sini, Ahad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai lebih 15 orang individu dipercayai anggota Hindraf yang ditahan polis semasa cuba melakukan demonstrasi bagi membantah novel Interlok di sekitar perkarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pagi ini.

Najib berkata, tindakan kumpulan berkenaan yang mengadakan demonstrasi di KLCC jelas menunjukkan mereka hanyalah menimbulkan satu gambaran yang buruk kepada negara ini melalui media antarabangsa.

"Kalau soal masalah kaum India kita sedang ambil tindakan, banyak masalah kaum India telah kita atasi,"katanya.

Najib berkata, kumpulan itu sebenarnya boleh menyerahkan apa jua memorandum kepada beliau atau pemimpin-pemimpin lain di Putrajaya.

"Mengapa perlu buat demonstrasi dan kenapa buat demonstrasi di KLCC pulak," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain