suria

Polis P.Pinang Tahan 21 GRO Warga China

GEORGE TOWN: Polis menahan 21 wanita warga China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus di sini dalam satu operasi malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata turut ditahan bersama kumpulan wanita berusia lingkungan 20an itu ialah seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.

"Siasatan awal mendapati semua wanita itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata premis hiburan yang dilengkapi dengan pintu pagar geriji serta dikawal ketat 'tonto' itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Gan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas perjalanan dan Seksyen 55(b) akta sama kerana menggaji pekerja tanpa dokumen sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain