suria

Warga Malaysia Di Yemen Selamat - Duta

KUALA LUMPUR: Semua warga Malaysia di Yemen selamat dan keadaan keselamatan di sana cukup terkawal, kata Duta Besar Yemen ke Malaysia, Abdullah Mohamed Al Montaser di sini, Rabu.

Beliau memberitahu Bernama terdapat kira-kira 600 warga Malaysia, kebanyakannya pelajar dan profesional di Yemen.

Beliau berkata laporan media mengenai tunjuk perasaan hanya "dibesar-besarkan" dan ia tertumpu di kawasan tertentu saja di ibu negara, Sana'a.

Abdullah berkata keadaan politik di Yemen tidak harus disamakan dengan negara-negara lain di rantau Asia Barat, dengan menyatakan penentangan di Yemen cukup tersusun dan diwakili di Parlimen.

"Kami boleh katakan wujud demokrasi yang segar di Yemen dan tidak ada sebab bagi rakyat hendak menumbangkan sebuah kerajaan yang dipilih," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan begitu tertolak ansor dan sentiasa sedia berunding dengan Pembangkang kerana ia prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Dalam tempoh sebulan lepas berlaku perubahan kerajaan di Tunisia dan Mesir. Ketika ini tercetus kebangkitan rakyat di Libya dan Bahrain. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain