suria

Seorang Doktor Ditemui Mati Dengan Kesan Kelaran Di Pergelangan Tangan

KLANG: Seorang doktor lelaki ditemui mati dengan kesan kelaran di pergelangan tangan kiri di tingkat dua bangunan rumah kedai miliknya di Taman Bayu Perdana di sini pada Ahad.

Dr Vinoo Karamsee Patel, 62, dipercayai mati dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusof kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata kematian Patel disedari setelah jirannya menghidu bau busuk dari rumahnya dan memanggil polis untuk memeriksa mengenai bau itu pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Anggota polis ke tempat kejadian terpaksa memecahkan pintu rumah doktor itu setelah mendapati ia berkunci dari dalam, katanya.

Mohamad berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat.

Mohamad berkata siasatan awal mendapati doktor itu tinggal bersendirian di rumah itu selepas berpisah dengan isterinya kira-kira enam tahun lepas, dan mempunyai tiga orang anak.

Beliau berkata doktor terbabit sebelum ini membuka klinik sendiri dan menutupnya enam bulan lepas setelah mengalami masalah dalam perniagaannya, dan selepas itu, bekerja dengan sebuah klinik lain di Pelabuhan Klang.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain