suria

Jangan Biar Sebarang Halangan Mengganggu Proses Pembangunan - TPM

MIRI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak supaya tidak membiarkan sebarang halangan menjadi penghalang kepada usaha kerajaan bagi membawa kebaikan dari segi khidmat sosial, pendidikan dan kesihatan kepada rakyat.

Oleh itu, beliau berkata rakyat Sarawak perlu mengembalikan kuasa kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang bagi memastikan proses pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di Sarawak berjalan lancar.

Bercakap pada sambutan Chap Goh Mei 1Malaysia di dewan komuniti Batu Niah kira-kira 106 kilometer dari sini, Khamis, Muhyiddin berkata beliau gembira dengan sambutan di kalangan rakyat dalam beberapa lawatannya ke negeri ini.

Beliau berkata dengan kehadiran sebegitu ramai orang dalam sambutan Chap Goh Mei menunjukkan sokongan mereka yang kuat terhadap BN dan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib telah memperkenalkan strategi pembangunan yang baru dan komprehensif malah tidak membiarkan sama sekali isu-isu kecil asalkan ia membabitkan rakyat, katanya.

Muhyiddin berkata di bawah teraju kepimpinan Najib, Malaysia mencatatkan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan RM56.24 juta di bawah program pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kawasan Parlimen Sibuti di sini.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM2 juta lagi bagi pelaksanaan projek-projek-projek kecil.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin berkata masyarakat Cina di negeri ini juga perlu menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana ia sentiasa menyokong perniagaan dengan mengadakan dasar yang jelas dan tegas bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaan di negara ini.

Beliau juga meminta masyarakat Cina supaya membawa masalah yang mereka hadapi dengan kerajaan persekutuan dan negeri yang akan membantu mereka mencari jalan penyelesaian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain