suria

BN Umum Calon Merlimau 23 Februari Ini

JASIN: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan nama calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, pada 23 Februari ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menyerahkan senarai nama calon tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.

"Kita sedang memeriksa latar belakang semua nama-nama yang kemukakan, banyak yang layak, orang di sini, yang memang telah dicadangkan di peringkat bahagian Jasin," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan perjumpaan dengan jentera BN pada pilihan raya kecil DUN Merlimau di Merlimau di sini, Isnin.

Mohd Ali sebelum ini menyatakan sebanyak tujuh nama disenaraikan untuk dipertimbangkan oleh Najib yang juga Pengerusi BN untuk dipilih sebagai calon B Npada pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau dimaklumkan jentera BN sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas secara berfokus dan terancang dengan harapan untuk meraih sokongan yang lebih besar daripada pengundi.

"Saya beritahu mereka dalam mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya kecil ini pengundi adalah raja, mereka penentu bagi kita, sepatutnya kita membentuk satu hubungan yang rapat dengan pengundi bukan setakat menemui mereka tetapi mendengar perkara yang mereka mahukan kita dengar," katanya.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan memainkan semangat perubahan di Mesir pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, Muhyiddin berkata rakyat tahu apa yang kita amalkan di Malaysia dan apa yang telah kita usahakan selama ini tidak boleh bandingkan dengan apa yang berlaku di Mesir.

"Senario di sana berbeza, sistem kerajaannya tidak serupa dan mungkin masalah yang timbul hingga menyebabkan dikatakan revolusi kerana rakyat tidak puashati, tidak ada perhatian soal nasib mereka.

"Di Malaysia sejak awal hingga sekarang tumpuan kita tidak ada yang lain ialah soal kebajikan rakyat, walaupun ada masalah dan cabaran bukan mudah tetapi kita akui yang ia menjadi perhatian, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang ini rakyat didahulukan," katanya.

Beliau berkata di Malaysia rakyat sudah terdidik dengan sistem demokrasi di mana rakyat boleh bersuara melalui pelbagai saluran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain