suria

Banjir Di Johor Makin Pulih, Jumlah Mangsa Di Pusat Pemindahan Berkurangan

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor semakin baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan berkurang kepada 10,666 orang setakat pukul 8 pagi Khamis, demikian lapor portal rasmi negeri Johor.

Laporan di www.johordt.my. itu berkata sehingga lewat petang Rabu, seramai 910 orang telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini masih terdapat 51 pusat pemindahan dibuka meliputi daerah Muar, Batu Pahang, Ledang dan Segamat.

Batu Pahat mencatatkan mangsa teramai dengan 6,173 orang daripada 1,363 keluarga, diikuti Muar (2,165 orang daripada 522 keluarga), Ledang (2,020 orang daripada 495 keluarga) dan Segamat (308 orang daripada 75 keluarga).

Jalan Pogoh Tekam Seksyen 1-Seksyen 3 (Chodan ke Tekam) di Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter sepanjang satu kilometer.

Di Muar, Km 60-61 Bukit Kepong masih ditutup kerana ditenggelami air sedalam 0.35m.

Sementara itu, di MELAKA, seramai 90 mangsa banjir daripada 25 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan di daerah Jasin sehingga pukul 10 pagi Khamis.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata seramai 60 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu dan 30 orang daripada sembilan keluarga di Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain