suria

Murid Maut Terjatuh Ke Dalam Kolam Berlumpur

JOHOR BARU: Seorang murid meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam kolam berlumpur berhampiran rumahnya di Taman Johor Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin berkata S. Tharwin, 8, murid darjah dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Permas Jaya dikatakan bermain di padang permainan berhampiran kolam itu bersama abang dan kakaknya serta beberapa kawan mereka kira-kira 4.30 petang.

"Ketika sedang bermain, Tharwin dipercayai pergi ke kolam terbiar di tepi padang tersebut sebelum disyaki terjatuh ke dalamnya," katanya.

Abang Tharwin yang menyedari kejadian tersebut bergegas balik ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mereka.

Bagaimanapun kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan kerana dia sudah tenggelam di dalam kolam itu.

Roslan berkata murid tersebut kemudiannya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sutan Ismail di Pandan tetapi disahkan telah meninggal dunia akibat lemas.- BERNAMA

Artikel Lain