suria

Wang Tunai RM2 Juta Dirampas Disyaki Untuk Biaya Dadah

KUALA LUMPUR: Polis berjaya merampas wang tunai hampir RM2 juta yang dipercayai digunakan bagi membiayai sindiket pengedaran dadah dan menahan lima warga tempatan dan lima rakyat Nigeria dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata kesemua mereka, termasuk tiga wanita tempatan, yang berumur antara 24 dan 39 tahun dari tiga sindiket berbeza yang aktif menjalankan pengedaran dadah jenis syabu, heroin, ganja dan pil eramin 5 di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berumur 31 dan 29 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Cheras di sini pada 3 Februari lepas.

"Pada mulanya sepasukan polis dari Balai Polis Cheras melihat kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry berhampiran kawasan perumahan itu kira-kira pukul 11.50 malam.

"Pemeriksaan awal menemui satu magazin berwarna hitam berisi 13 butir peluru dan tujuh butir peluru hidup yang ditemui dalam kereta yang dinaiki suspek yang kemudiannya turut dirampas," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek di Taman Cheras tersebut menemui 500 biji pil eramin 5, seberat 95 gram syabu dan sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1.63 juta yang disembunyikan di rumah itu.

"Kami percaya wang yang dirampas itu untuk biayai aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan kami sedang mengenalpasti individu-individu lain yang terlibat," kata Zulkifli.

Sementara itu dalam operasi kedua kira-kira pukul 9.30 pagi dua hari lepas, seorang lelaki dan seorang wanita ditahan dan wang tunai sebanyak RM150,750 dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama.

Menurutnya polis turut merampas lima bungkus plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis ketamine seberat 1,430 gram dan empat paket plastik lutsinar dadah disyaki heroin sebanyak 13 gram.

Turut dirampas enam butir peluru hidup dan empat buah telefon bimbit, katanya.

Zulkifli berkata ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek masing-masing berumur 39 dan 25 tahun itu positif dadah.

Dalam operasi ketiga, seorang wanita tempatan dan lima lelaki warga Nigeria yang kesemuanya berumur antara 24 dan 34 tahun ditahan di sebuah rumah teres di Taman Puchong Hartamas awal pagi 2 Feb lepas.

Beliau berkata polis berjaya merampas 24 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 805 gram dan dua paket plastik lutsinar ganja seberat 117 gram.

Katanya turut dirampas wang tunai sebanyak RM128,822, kereta jenis Proton Persona, barang kemas, komputer riba dan sembilan telefon bimbit.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain