suria

Keutamaan Bantuan Kepada 4,900 Rakyat Malaysia Di Mesir

KUALA LUMPUR: Seramai 4,900 rakyat Malaysia yang berada di Mesir akan diberi keutamaan dahulu oleh Jawatankuasa Penyelarasan Bantuan dan Maklumat Pelajar Malaysia di Mesir dalam usaha membantu membawa mereka pulang ke tanahair.

Bagaimanapun, kesemua 11,000 rakyat Malaysia yang berada di sana akan dipindahkan segera ke kawasan yang lebih selamat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa tersebut mengenal pasti golongan-golongan yang perlu diberi keutamaan untuk pulang segera.

"Kita akan bawa pulang mereka yang sakit, kaum wanita, pelajar tahun pertama, mereka yang berkeluarga, pelajar sekolah rendah dan menengah serta mereka yang berada di zon yang berisiko tinggi.

"Seramai 4,900 orang yang berada dalam kategori ini," katanya pada Sidang Media Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Bantuan dan Maklumat Pelajar Malaysia di Mesir oleh Kelab Umno Luar Negara dengan kerjasama Wisma Putra dan Pergerakan Pemuda Umno, pada Rabu.

Beliau mengadakan sidang akhbar itu atas kapasitinya sebagai pengerusi Kelab Umno Luar Negara.

Beliau juga berkata, jawatankuasa tersebut turut menyalurkan bantuan kepada mereka membuat keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia.

Bantuan berkenaan termasuklah makanan, kawalan keselamatan, saluran maklumat terkini dan urusan berpindah ke zon selamat yang dinamakan Rumah-Rumah Negeri.

Selain itu terdapat juga Rumah Malaysia dan Rumah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terletak berhampiran antara satu sama lain di zon selamat.

"Saya dimaklumkan yang lain tak mahu pulang sebab mereka yakin keadaan akan reda. Kita akan letak mereka ini di zon selamat," katanya.

Ahmad Shabery berkata Kelab Umno di Mesir mempunyai seramai 700 ahli yang bersedia menjadi sukarelawan.

Sumbangan sebanyak RM35,000 oleh Jawatankuasa Penyelaras disalurkan sebagai bantuan bagi membantu urusan keperluan pelajar.

Dalam pada itu, pesawat Malaysia Airline System (MAS) dan Air Asia dijangka berlepas ke Jeddah bagi membawa pulang rakyat Malaysia dalam tempoh terdekat.

"Dijangkakan 4,900 orang itu akan tiba di Malaysia dalam tempoh lima hari lagi," katanya.

Mengulas pertanyaan media bahawa kerajaan bertindak agak lewat dalam menghantar bantuan berbanding negara lain, Ahmad Shabery manafikannya.

"Orang tidak faham kesukaran mendapatkan hak mendarat di Lapangan Terbang Mesir. Kita bukan boleh memasuki negara orang sesuka hati kita.

"Dan negara-negara lain pun susah nak dapat hak mendarat daripada kerajaan Arab Saudi untuk mendarat di Jeddah kecualilah kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain, itu pun tak semua yang dapat," jelasnya.

Kata beliau, adalah sukar untuk membawa pulang kesemua 11,000 rakyat Malaysia serentak dalam keadaan pergolakan di Mesir.

Pun begitu beliau yakin pasukan yang dihantar adalah yang terbaik dan dapat bertindak wajar tanpa bersikap panik.

Ahmad Shabery menasihatkan orang ramai terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak di Mesir supaya bertenang dan tidak mempercayai cerita-cerita yang disensasikan.

"Apa yang berlaku di sana hanyalah kebangkitan rakyat mendesak presidennya berundur. Bukan perang besar atau perang saudara.

"Tidak timbul soal perkauman atau mereka memerangi masyarakat luar," jelasnya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa pelajar dan Rumah-Rumah Negeri dengan melayari www.kelab-umno.com dan http://kuln-krisis-mesir.blogspot.com

Artikel Lain