suria

Dua Lelaki Bersenjatakan Pistol Rompak Barang Kemas Bernilai RM150,000

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan beberapa dulang barangan kemas bernilai kira-kira RM150,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas dalam sebuah pasaraya di Taman Kota Permai di sini, Isnin.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang dalam kesibukan orang ramai membeli belah di pasaraya itu apabila dua lelaki meluru masuk ke dalam kedai emas itu.

Katanya salah seorang daripada lelaki itu mengacukan sepucuk pistol ke arah pemilik kedai dan mengarahkan pemilik serta pekerja kedai itu mengisi barang-barang kemas ke dalam beg yang dibawanya.

Beliau berkata semasa kejadian hanya terdapat pemilik kedai dan pekerjanya sahaja di dalam kedai itu, dan menurutnya kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner (ACP) Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain