suria

UPP Perlis Tumpaskan Cubaan Seludup Gula, Minyak Masak

PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar 16,500 kilogram gula pasir dan 600 kilogram minyak masak pelbagai jenama, selepas menahan lima pikap di persimpangan lampu isyarat Jalan Kangar-Padang Besar, Selasa.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, lima lelaki warga Thailand yang memandu kenderaan berkenaan dan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, ditahan bagi membantu siasatan manakala kesemua pikap dirampas.

"Kesemua barang rampasan itu dipercayai dibeli daripada pemborong tempatan yang berlesen untuk dipasarkan di negara jiran," katanya pada sidang akhbar di Kem UPP di sini.

Beliau berkata, gula pasir yang cuba diseludup keluar itu bernilai RM34,755 manakala minyak masak RM1,500 dan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kedua-dua barangan itu disorok di bawah makanan lain dalam semua kenderaan.

Katanya, kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain