suria

PAS Harap Pengundi Muda Bantu Kemenangan Calonnya

LABIS: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jentera pilihan raya pakatan pembangkang akan bekerja keras untuk meraih sokongan pengundi terutama golongan muda bagi membantu kemenangan calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Beliau percaya golongan pengundi muda akan membuat kejutan dan perubahan dengan berpihak kepada calon PAS yang juga Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 38.

"Pengundi yang bukan Islam juga akan menyokong calon PAS," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya itu di Pejabat Majlis Daerah Labis di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat Mohd Azahar Ibrahim, 39.

Abdul Hadi berkata isu nasional dan tempatan akan diketengahkan sepanjang kempen bagi meraih sokongan pengundi di DUN itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, pakatan pembangkang akan menjadikan rekod kerja di empat negeri yang ditadbir pakatan pembangkang iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, dijadikan contoh sebagai usaha menarik pengundi di DUN Tenang.

Beliau berkata walaupun pihaknya menaruh harapan untuk menang, tetapi mereka akan mengambil kira keadaan semasa secara realistik dan akan menggunakan peluang di pilihan raya itu bagi menjelaskan kepada para pengundi mengenai isu-isu nasional serta dasar pakatan iaitu merakyatkan ekonomi negeri.

"Bagi saya, apa yang perlu dilakukan sepanjang tempoh kempen ialah, turun ke bawah, bertemu dengan pengundi dari semua kaum, untuk beri penjelasan kepada mereka tentang program dan dasar pakatan rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw berkata pakatan pembangkang akan membawa isu-isu nasional untuk diketengahkan kepada para pengundi seperti isu air, isu kecurian pasir di Johor dan isu-isu Felda.

"Ketiga-tiga parti dari Pakatan Rakyat akan berikhtiar dengan sedaya upaya, untuk menerangkan kepada para pengundi, apa perkara pokok di negeri ini," katanya.

Dr Tan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata pakatan pembangkang tidak akan menggunakan strategi berbeza untuk menarik sokongan pengundi Melayu, Cina, India dan Lain-lain, sebaliknya akan menggunakan kaedah penerangan yang sama kepada semua kaum.

Ditanya mengenai kemungkinan peluang untuk pakatan pembangkang merampas kerusi DUN Tenang, Dr Tan hanya menjawab: "Kita akan berikhtiar dan tuhan akan menentukan". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain