suria

3.3 Juta Pengguna Dapat Faedah Program Penyeragaman Harga

SEBUYAU: Pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini untuk program penyeragaman harga barang kawalan dijangka mampu memberi manfaat kepada 3.3 juta pengguna di seluruh negara khasnya di kawasan luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut RM100 juta diperuntukkan kepada Sarawak sekaligus memberi faedah kepada 1.2 juta di kawasan luar bandar dan negeri ini.

"Peruntukan yang dilulus kerajaan dalam Bajet 2011 itu untuk menampung kos pengangkutan tinggi yang menjadi punca kepada kenaikan harga barang termasuk barang kawalan di luar bandar yang banyak membebankan pengguna," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program penyeragaman harga peringkat Sarawak di sini Jumaat.

Bagi tahun lepas, kementerian ini diperuntukkan RM79 juta untuk program penyeragaman harga termasuk RM67 juta kepada Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 326 kawasan di Sarawak akan mendapat faedah daripada program penyeragaman harga barang tersebut iaitu peningkatan sebanyak 80 peratus berbanding hanya 30 kawasan pada tahun lalu.

Dalam pada itu, katanya kementerian akan menambah jumlah produk jualan yang perlu diseragamkan harga seperti di kawasan bandar iaitu daripada 25 produk kepada 50 produk bermula tahun ini.

Katanya produk yang tidak termasuk dalam senarai barang kawalan utama seperti Beras ST15, gula, tepung dan minyak masak boleh dipilih mengikut keperluan utama penduduk di sesuatu tempat.

"Sebagai contoh ada sesetengah barang seperti lampin pakai buang untuk bayi amat perlu diseragam selain produk mi segera dan beberapa lagi produk yang mendapat permintaan tinggi pengguna di luar bandar," katanya.

Peniaga dan peruncit tidak boleh lagi memberikan alasan kos pengangkutan yang tinggi untuk menaikkan harga barang dengan pemberian peruntukan tambahan bagi program penyeragaman harga tersebut, tegas beliau.

"Tambahan peruntukan ini menjadi bukti kerajaan tidak pernah tutup mata dan lupa untuk membantu rakyat khasnya mereka di luar bandar yang berhadapan masalah harga barang yang tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain