Sindiket Jual Alat Ganti Curi Melalui Laman Web Tumpas - Semasa | mStar

Sindiket Jual Alat Ganti Curi Melalui Laman Web Tumpas

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan bergelar "mudah.com" yang bergiat aktif melalui laman web untuk menjual alat ganti motosikal di Serdang dekat sini sejak dua tahun lepas tumpas apabila polis menahan dua lelaki dalam satu serbuan di sini 13 Januari lepas.

Ketua Polis Serdang Supritendan Abd Razak Elias berkata dua lelaki itu yang merupakan juruteknik komputer di sebuah syarikat di Brickfields dan berusia dalam lingkungan 20-an ditangkap di sebuah rumah di Taman Sungai Besi Indah di sini.

"Polis dari Ibu Pejabat Polis Serdang telah membuat serbuan kira-kira pukul 6 petang di rumah tersebut setelah risikan dibuat selama beberapa minggu dan akhirnya menemui pelbagai jenis alat gantian motosikal yang dijual menerusi iklan laman sesawang.

"Polis juga turut merampas pelbagai jenis alat gantian motor bernilai RM15,000 dalam serbuan tersebut," katanya kepada pemberita di Balai Polis Serdang di sini, Jumaat.

Abd Razak berkata kedua-dua lelaki tersebut yang menjalankan aktiviti tersebut secara separuh masa dipercayai telah membeli motosikal curi sebelum meleraikannya untuk dijual dan kemudian mengiklankannya melalui laman sesawang.

Menurutnya lagi harga alat ganti motosikal yang dijual tersebut adalah lebih murah daripada biasa dan menyebabkannya mendapat sambutan daripada pembeli yang melihat iklan laman web mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Si Bankrap Dilarang Sertai Persatuan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain