suria

Parti Bertanding Dinasihatkan Tidak Bawa Penyokong Terlalu Ramai – SPR

LABIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan parti yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang supaya tidak membawa penyokong yang terlalu ramai pada hari penaman calon esok.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, perkara tersebut bagi mengelakkan kesesakan dan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

“Jika terlalu ramai ia akan sebabkan kesesakan jalan raya dan menyusahkan penduduk di Tenang. Saya mohon kepada pemimpin parti menasihatkan penyokong mereka supaya datang dengan Tenang.

“Jangan sampai hilang ingatan, membuat provokasi, menggunakan isyarat tubuh yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan terakhir SPR di pusat penamaan calon Majlis Daerah Labis di sini pada Jumaat.

Abdul Aziz berkata, SPR juga melarang penyokong membawa pembesar suara, alat muzik serta sepanduk yang provokatif pada hari penamaan calon esok.

“Kita tidak mahu timbul perkara tidak diingini. Saya harap penyokong parti faham dengan undang-undang,” katanya.

Jelasnya, kempen bagi pilihan raya kecil DUN Tenang akan bermula sebaik sahaja proses penamaan calon berakhir esok.

“Bila pegawai pengurus pilihan raya umumkan adanya pertandingan maka parti yang bertanding boleh mula berkempen dan akan berakhir pada 29 Januari pukul 12 tengah malam.

“Tidak ada kempen, merayu undi pada hari pengundian. Pondok panas juga tidak ada, yang ada hanyalah pondok SPR,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan pemindahan tiga pusat pengundian pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Perubahan ini bukan kerana pilihan raya kecil ini. Ia adalah disebabkan oleh proses persempadanan semula yang SPR lakukan sepanjang masa dan secara kebetulan ia kena pada pilihan raya kecil ini.

“Mana-mana tempat yang tak sesuai kita pindahkan dan letakkan di pusat daerah mengundi yang sepatutnya,” katanya.

Tiga pusat mengundi yang dipindahkan ialah Sekolah Kebangsaan Seri Kabis ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Labis ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Labis ke Dewan Bola Keranjang Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Labis.

“Ketiga-tiga pusat pengundian ini dipindahkan kerana ia berada di DUN Bekok. Jadi kita pindahkan ke DUN Tenang.

“Bukan sebab dulu menang parti PAS ke majoriti undi Cina ke, tidak sama sekali. Jangan anggap SPR begitu secara kebetulan jadi begitu,” katanya.

Beliau berharap perkara tersebut tidak diputar belitkan oleh pihak tertentu kerana pusat pengundian yang baru itu telah lama diwartakan. Oleh itu, Abdul Aziz menasihatkan pengundi di DUN Tenang menyemak pusat dan saluran mengundi awal bagi memudahkan proses pengundian pada hari mengundi.

“Saya nasihatkan pengundi semak pusat mengundi dan saluran mengundi mereka awal supaya tidak timbul masalah pada hari mengundi.

“Jika ada masalah kita boleh semak sekarang. Selain menggunakan telefon dan khidmat pesanan ringkas, SPR juga ada unit bergerak untuk memudahkan pengundi semak tempat dan saluran mengundi mereka,” katanya.

SPR telah menetapkan sebanyak 32 dengan 12 pusat mengundi, 9 buah sekolah dan tiga dewan pada pilihan raya kecil kali ini.

Barisan Nasional telah mengumumkan bekas Penolong Tadbir Pejabat Daerah Rengit, Mohd Azhar Ibrahim, 39 sebagai calonnya, manakala PAS diwakili oleh Normala Sudirman, 39, bekas guru.

Penamaan calon PRK di Tenang akan berlangsung esok di Dewan Majlis Daerah Labis manakala pengundian akan berlangsung pada 30 Januari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain