suria

Laporan Perbincangan Isu Interlok Akan Dibawa Ke Kabinet

PUTRAJAYA: Laporan perbincangan mengenai isu novel 'Interlok' yang diadakan hari ini akan dibentang kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi yang mempengerusikan perbincangan itu bagaimanapun enggan mendedahkan hasil mesyuarat.

"Kami berdialog dengan mesra dan intelektual dan tak terikat dengan emosi sebab matlamat utama yang dipersetujui tadi adalah untuk mencari penyelesaian dan cadangan-cadangan yang sesuai untuk mengatasi isu ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Mohd Puad berkata perbincangan berlangsung selama empat jam dan disertai oleh semua pihak berkepentingan termasuk enam wakil MIC serta badan bukan kerajaan (NGO).

Pada perbincangan itu katanya, kementerian tersebut berpeluang menjelaskan faktor dan rasional pemilihan novel berkenaan sebagai teks wajib komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.

Mesyuarat yang melibatkan 22 wakil pelbagai pihak itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud dan beberapa lagi wakil kementerian, wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia dan NGO lain serta ahli akademik.

Enam wakil MIC yang menghadiri mesyuarat itu ialah Presiden Hindu Sangam Malaysia R.S Mohan Shah, Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr S. Kumaran, Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri Dr T. Marimuthu, bekas pegawai Kementerian Pelajaran G. Krishnabagwan, bekas presiden Hindu Sangam Malaysia Dr. A. Nagappan Arumugam dan Presiden Club Bell Tamil Malaysia S.V. Lingam.

Penggunaan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang diterbitkan DBP sebagai teks sastera itu menimbulkan kontroversi kerana ada kandungannya dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain