suria

JKM Mampu Kendali Hukuman Terhadap 9,000 Remaja Gagal Hadir PLKN

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mampu mengendalikan 9,000 remaja yang bakal menghadapi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 240 jam kerana kesalahan gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat jabatan itu, SH. Abu Bakar A. Hamid berkata bahagian itu, yang telah menjalankan hukuman perintah khidmat masyarakat sejak 2008, mempunyai tempat dan pegawai yang mencukupi bagi mengendalikan jumlah tersebut.

"Kesemua mereka yang akan menjalani perintah hukuman ini bukanlah secara serentak tetapi akan dibuat sedikit demi sedikit," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechik bahawa terdapat kira-kira 9,000 remaja bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran kegagalan mereka mengikuti PLKN sepanjang lapan tahun lepas.

Abdul Hadi berkata, senarai nama 9,000 remaja itu telahpun dihantar kepada pihak polis untuk siasatan sebelum kes dibawa ke mahkamah.

Abu Bakar berkata, mereka yang dihukum di bawah perintah khidmat masyarakat akan menjalankan kerja-kerja seperti pembersihan kawasan, menjaga orang tua, pemuliharaan bangunan dan sebagainya di 47 buah institusi milik JKM.

Beliau berkata, sebelum remaja ini menjalani hukuman, jabatan itu akan mengadakan perbincangan dengan golongan itu bagi memastikan jenis hukuman yang sesuai yang tidak akan membebankan mereka.

"Sekiranya mereka bekerja atau belajar, perintah terhadap mereka akan dilaksanakan pada hari cuti supaya ianya tidak akan membebankan mereka," katanya.

"Sekiranya dalam masa perbincangan itu dilihat mereka tidak suka kanak-kanak maka mereka akan diberi hukuman lain, tetapi perkara ini tidak akan ditanya kepada mereka secara terus. Kita akan menggunakan beberapa teknik semasa perbincangan untuk mengetahui apakah yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka," katanya.

Abu Bakar berkata, pihaknya juga akan memastikan mereka dapat menjalani hukuman 240 jam itu dalam tempoh dua tahun. - BERNAMA

Artikel Lain