suria

Bedah Siasat Dapati Lebih 50 Gigitan Anjing Pada Tubuh Pelancong Ireland

GEORGE TOWN: Hasil bedah siasat mendapati lebih 50 gigitan dikesan di seluruh badan, muka dan kepala pelancong warga Ireland yang maut akibat diserang dua ekor anjing di sebuah ladang di Teluk Bahang pada Ahad.

Pakar Pathologi, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh berkata, punca kematian Sullivan Maurice, 50, disahkan akibat kehilangan banyak darah akibat gigitan berkenaan.

Kedua-dua belah telinga pelancong itu juga didapati hilang akibat digigit kedua-dua ekor anjing itu, katanya kepada pemberita selepas menjalankan bedah siasat atas mayat Maurice di sini, Isnin.

"Bagaimanapun satu daripada telinganya ditemui di tempat kejadian manakala satu lagi telinga masih dicari," katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, Maurice bersama teman wanitanya Agnieszka Jablonska, 28, melawat ke sebuah ladang herba di Teluk Bahang dan sedang merakam gambar ladang itu sebelum Maurice diserang oleh dua ekor anjing jenis Mongrel pemilik ladang berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zin berkata, polis masih mengambil keterangan pemilik anjing itu yang dikenali sebagai Joseph Teoh dan isterinya Beatrice Teoh untuk membantu siasatan.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 289, Kanun Keseksaan iaitu kelalaian sehinggakan menyebabkan kecederaan parah atau kematian dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pengarah Veterinar Pulau Pinang, Dr Wan Mohd Kamil Wan Nik ketika dihubungi berkata, kedua-dua ekor anjing itu kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Veterinar Daerah Balik Pulau selama 10 hari untuk pemantauan sama ada anjing terbabit mempunyai sebarang penyakit.

Katanya, keputusan hasil pengawasan itu akan diserahkan kepada polis untuk tindakan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain