suria

Terlebih Berat Punca Lantai Bangunan Runtuh

KUALA LUMPUR: Runtuhan lantai tingkat lima bangunan Bank Rakyat yang dalam pembinaan di Jalan Ang Seng, Brickfields, semalam, dipercayai berpunca daripada lebihan muatan jentera berat yang digunakan bagi kerja membina bangunan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, siasatan awal mendapati struktur lantai itu tidak kukuh kerana terpaksa menampung jentera serta mesin simen yang diletakkan di atas bangunan itu.

"Terdapat jentera berat dan mesin simen bersama ramai pekerja ketika kejadian yang dipercayai mungkin menjadi punca kejadian lantai runtuh itu," katanya selepas melawat lokasi kejadian, Selasa.

Azizan berkata, siasatan menyeluruh dan terperinci sedang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas yang mengandungi wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jawatankuasa itu juga dijangka mencadangkan langkah-langkah bagi mengelak kejadian seperti itu daripada berulang.

"Mengikut peraturan juga, kerja pembinaan di bangunan ini dibenarkan sehingga pukul 10 malam sahaja tetapi mereka (pekerja) didapati masih bekerja dan beroperasi melebihi tempoh itu hinggalah kejadian itu berlaku," katanya.

Azizan berkata, kerja pembinaan dihentikan sementara bagi membolehkan siasatan berhubung punca sebenar lantai bangunan itu runtuh dijalankan.

Dalam kejadian itu, pekerja binaan warga Bangladesh, Ahmad Ali Late Azgor Ali, 42, terbunuh manakala seorang lagi warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia cedera apabila lantai itu runtuh pada 10.30 malam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain