suria

Hukuman Mati Terhadap Peniaga Kedai Makan Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang peniaga kedai makanan kerana kesalahan mengedar 1,032 gram kanabis, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Heliliah Mohd Yusof menolak rayuan terakhir yang dikemukakan oleh Mohd Farid Sukis.

Keputusan itu adalah sebulat suara.

Mohd Farid, 35, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya terhadap kesalahan mengedar dadah itu di sebuah rumah di Kampung Batu Muda, Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi, 9 Oktober 1999.

Sewaktu mengumumkan keputusan, Arifin berkata, Mahkamah Rayuan betul dalam keputusannya untuk menerima rayuan pendakwa raya bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun 2002, yang telah melepaskan dan membebaskan Mohd Farid terhadap pertuduhan itu.

Mengikut keterangan daripada Inspektor Wan Azlan Wan Mamat yang ketika itu pegawai polis yang menangkap Mohd Farid, tertuduh dilihat dalam keadaan mencangkung, memegang sebilah pisau dan sedang memotong satu ketulan mampat kanabis itu, sewaktu pasukan polis memasuki rumah tersebut.

Mohd Farid diwakili peguam T. Suresh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain