suria

Terminal Pengangkutan TBS-BTS Lambang Kemodenan Malaysia

KUALA LUMPUR: Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang akan memulakan operasi pada 1 Jan ini merupakan satu lagi lambang kemodenan sistem pengangkutan negara serta usaha kerajaan dalam memberi keselesaan kepada rakyat.

Pelbagai kemudahan moden melengkapi terminal pengangkutan bersepadu itu, yang dibina pada 2008 dengan kos RM570 juta bagi memberikan perkhidmatan yang lebih selesa kepada pengguna.

Terminal itu juga dihubungkan melalui Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) , Lebuh Raya Seremban di bahagian selatan serta Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II) di bahagian timur.

Tinjauan Bernama ke TBS-BTS mendapati ia dilengkapi kemudahan yang tidak terdapat di hentian lain seperti kaunter khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam dan kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara online 'e-ticketing' melalui www.tbsbts.com.my.

Penjualan tiket menggunakan skrin disediakan di hadapan kaunter dan terdapat mikrofon di dalam kaunter supaya penumpang dapat mendengar dengan jelas maklumat yang disampaikan pihak pentadbiran.

Selain 19 kaunter tiket yang disediakan, penumpang yang tidak mahu menunggu lama atau beratur panjang untuk membeli tiket, terdapat juga enam mesin kiosk untuk membeli tiket secara tunai atau 'touch n go'.

Selain itu, sistem siaran informasi pengunjung (PIDS) seperti jadual pelepasan bas diletakkan di setiap tingkat manakala balai ketibaan dan pelepasan di tingkat bawah disediakan khusus untuk penumpang sahaja.

Beberapa restoran dan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) juga disediakan selain bilik rehat VIP, surau, tandas, tempat menukar lampin bayi serta perkhidmatan WiFi.

Kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) turut disediakan seperti lantai penunjuk arah, kaunter perkhidmatan dan tiket yang direndahkan, tandas, lif, laluan jalan istimewa serta petak letak kereta khas untuk mereka.

Bangunan TBS-BTS, yang dibina di kawasan seluas 19.6 hektar, mengandungi enam tingkat termasuk 55 platform bas untuk 1,000 bas keluar dan masuk setiap hari, 150 perhentian teksi, 1,000 parkir kereta termasuk parkir khas untuk wanita.

Sebanyak 1,800 tempat duduk disediakan di aras tempat menunggu bersaiz 170,000 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 40,000 orang pada satu-satu masa.

Pembinaan terminal itu merupakan usaha kerajaan ke arah meningkatkan pengggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang selaras dengan sasaran Kementerian Pengangkutan meningkatkannya daripada 16 peratus pada masa ini kepada 25 peratus pada 2012.

Pengarah Urusan MAJU TMAS Roslan Mohd Shariff berkata TBS-BTS adalah kesinambungan daripada projek Kuala Lumpur (KL) Sentral di mana konsepnya adalah sama namun lebih besar berbanding KL Sentral yang hanya persinggahan integrasi untuk pengangkutan kereta api, bas tempatan dan teksi.

Beliau berkata ciri-ciri tiket bas sama seperti tiket kapal terbang di mana di atas tiket tertera nama dan nombor kad pengenalan penumpang dan hanya mereka sahaja yang boleh menaiki bas itu.

Contohnya, sebelum menaiki bas, penumpang perlu mengimbas tiket di mesin yang disediakan dan pekerja akan memeriksa tiket itu sebelum dibenarkan menaiki bas, katanya.

Terdapat juga perkhidmatan 'Usher' di setiap aras bagi membantu penumpang OKU dan penumpang warga emas bermula mereka membeli tiket hingga menaiki bas.

"Jika terminal ini berjaya, ini adalah satu contoh yang boleh diikuti di semua terminal di seluruh Malaysia dan seluruh Asia Tenggara," katanya kepada Bernama.

Roslan berkata tiga jalur warna yang terdapat pada lambang TBS bermaksud tiga integrasi yang terdapat di situ iaitu keretapi Rapid KL Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, pelbagai bas tempatan ke selatan dan teksi tempatan dan ke luar kawasan.

Beliau berkata terminal itu yang terletak di pinggir kota adalah impian kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di tengah bandar raya selain menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam yang ada.

TBS-BTS juga menekan aspek keselamatan dengan memasang 500 kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan dari jalan masuk selain 250 polis bantuan bertugas membuat rondaan di setiap tingkat dan pos polis disediakan di kawasan parkir.

"Teknologi hijau dan mesra alam banyak digunakan seperti lampu yang digunakan adalah mesra alam serta terdapat 'Central Vacuum System' untuk memastikan sampah dibuang di tempat yang betul," katanya.

Roslan berkata para pemandu bas juga pasti berasa selesa kerana hentian rehat bas dilengkapi dengan stesen minyak, surau dan kantin.

"Kemudahan ini semua untuk memberi keselesaan dan supaya mereka mendapat rehat yang secukupnya selepas penat memandu," katanya.

Seorang pengunjung terminal itu, Kanafiah Kami, 66, berkata beliau kagum dengan pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan.

"Memang bagus, cantik, luas dan sesuai untuk menjadi tumpuan pelancong.

Keselamatan pun dilihat terjamin dengan banyak polis bantuan berbanding dengan hentian lama," katanya.

Seorang peniaga di terminal itu, Syahruban Mohammad berkata TBS-BTS adalah strategik selain pemandangan sekelilingnya cantik, bersih dan selamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain