suria

Polis Sarawak Tahan 12 Individu Terlibat Ugut Dan Manipulasi Harga Getah

KUCHING: Polis Sarawak menahan 12 individu dari kumpulan gangster kerana terlibat dalam mengugut dan memanipulasi harga getah di negeri ini pada tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata kesemua individu ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969 selama 60 hari untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata polis telah menerima maklumat dari penduduk tempatan di bahagian tengah Sarawak seperti Sibu, Sarikei dan Bintagor bahawa kumpulan-kumpulan gangster bertindak mengugut penoreh getah agar menjual hasil dengan harga yang lebih rendah dari pasaran.

Jika penoreh ingkar mereka akan diugut dan dicederakan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Serah/Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini Rabu.

Datuk Law Hong Soon menerima tugas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baru menggantikan Datuk Hamza Taib yang kini menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.

Mohmad berkata siasatan awal mendapati individu yang terlibat pernah ditahan di bawah Ops Cantas Kenyalang pada 2007.

Dalam operasi itu bagi menggempur kegiatan gangterism di negeri ini, polis menahan ketua-ketua dan orang-orang kanan kumpulan gangster mengikut Ordinan Darurat 1969 dan Akta Kediaman Terhad.

Mengenai dakwaan bahawa kumpulan gangster terlibat dalam mengutip wang perlindungan daripada pengusaha burung walit di bahagian tengah Sarawak, Mohmad berkata polis tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

Beliau menggesa orang awam tampil memberi sebarang maklumat mengenai kegiatan seumpama itu kepada pihak polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain