suria

Malaysia-UK Meterai MoU Kerjasama Imigresen

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Imigresen antara Malaysia dan United Kingdom yang akan ditandatangani pada Januari depan di Kuala Lumpur.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan terbaru itu adalah agenda besar yang amat signifikan kepada hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pengajian tinggi.

Katanya MoU itu merupakan, yang ketiga seumpamanya, ditandatangani dengan negara lain dalam bidang Imigresen selepas Australia dan Belanda.

"Cadangan MoU itu telah dikemukakan oleh pihak United Kingdom setelah beberapa sesi rundingan dilakukan antara Malaysia dan negara itu berhubung usaha untuk menangani aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan sejak 2008.

"Langkah ini adalah yang pertama seumpamanya antara kedua-dua negara dalam menjalankan kerjasama secara formal berkaitan Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Hishammuddin berkata keputusan itu akan membuka ruang kepada kerjasama secara lebih formal antara kedua-dua negara di mana ia akan memberikan faedah besar dalam tujuan mempertingkatkan tahap perkhidmatan Imigresen bagi kedua-dua negara amnya dan Malaysia khususnya.

Katanya antara skop kerjasama Imigresen yang bakal dilaksanakan oleh kedua-dua negara merangkumi kerjasama pertukaran maklumat mengenai pengurusan migrasi (termasuklah maklumat pengganas, jenayah kolar putih, penyaluran wang haram ke luar negara).

"Kerjasama turut membabitkan kawalan sempadan, sistem biometrik, dokumen perjalanan, teknologi serta kerjasama latihan," katanya.

Katanya dengan persefahaman itu, kedua-dua negara akan dapat bertukar-tukar maklumat dan kepakaran mengenai penggunaan teknologi biometrik dan kawalan sempadan yang terkini.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata KDN mengambil inisiatif untuk memperkemaskan aspek berkaitan dengan pengurusan hal ehwal Imigresen.

"Kita tidak lagi boleh terus melaksanakan tugas mengikut cara dan kaedah lama.

"Perkembangan ini menggambarkan betapa penting bagi kita memahami persekitaran dunia tanpa sempadan dan kehidupan semasa dalam konteks perkampungan sejagat yang merentasi rantaian sempadan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain