suria

Malaysia Tersisih Daripada 'Radar' Pelancong Kesihatan Barat

BERLIN: Malaysia mampu meraih manfaat besar daripada pelancongan berasaskan kesihatan bernilai RM100 bilion jika langkah promosi yang betul diambil di pasaran antarabangsa termasuk di Barat yang kos penjagaan kesihatan amat tinggi, kata seorang pakar penjagaan kesihatan Jerman di sini.

Katanya walaupun mempunyai ramai doktor terlatih dan infrastruktur yang moden, Malaysia gagal menarik pelawat untuk tujuan kesihatan kerana, tidak seperti India dan Thailand, Malaysia terkeluar daripada "radar" sektor penjagaan negara Barat.

"Ini boleh diubah dengan adanya strategi pemasaran yang agresif," kata pakar itu yang mendapati ramai rakyat Eropah mendapatkan rawatan di Mumbai dan Bangalore di India selain Bangkok dan negara Asia yang lain.

Satu kajian menunjukkan pendapatan daripada industri penjagaan kesihatan boleh memberi sumbangan besar kepada Malaysia memandangkan perbelanjaan dalam industri itu dianggarkan mencecah US$100 bilion pada 2012.

Pelancongan berasaskan kesihatan kini mencatat pertumbuhan antara 20 dan 30 peratus setahun.

Negara-negara Timur Tengah merupakan sumber terbaru pelancong berasaskan kesihatan.

India, Thailand dan Filipina pula merupakan negara-negara yang gigih menawarkan perkhidmatan tersebut.

Satu laporan mengenai trend pelancongan oleh Messe Berlin, agensi yang menganjurkan ITB Berlin iaitu pameran pelancongan terbesar antarabangsa, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah antara yang banyak melancong di luar negara pada tahun ini.

Selain Malaysia, ngeara Asia lain yang rakyatnya sering melanciong di luar negara ialah China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Singapura dan India. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain