suria

PM Minta Media Bantu Anjur Kesederhanaan

GEORGE TOWN: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru media supaya memainkan peranan sebagai penganjur kesederhanaan untuk mengetengah dan menonjol semula agenda keamanan dan pragmatisme.

Perdana Menteri berkata gerakan kesederhanaan boleh meminggirkan ekstremisme dan media mempunyai peranan bermakna untuk dimainkan dalam mencapai mencapai hasrat ini.

"Menerusi keazaman bersama, kita boleh membina dunia yang lebih rasional, selamat dan saksama. Dengan media menyampaikan mesej mengenai majoriti yang mahukan keamanan dan kesederhanan di seluruh dunia, dunia baru ini sesungguhnya boleh kita capai," katanya semasa merasmikan konvensyen antarabangsa ke-43 World Chinese Language Press Institute, di sini Isnin.

ni adalah kali kelima konvensyen berkenaan diadakan di Malaysia.

Yang turut hadir di majlis perasmian tersebut ialah Presiden World Chinese Language Press Institute, Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Persatuan Wartawan Cina, Tian Cong Ming, Pengerusi Kwong Wah Yit Poh Press, Ong Gim Huat dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Najib berkata media perlu berfungsi sebagai "menara pantau" untuk perubahan dan memainkan peranan agresif dan berupaya untuk mempertanggungjawabkan kerajaan, syarikat, masyarakat dan individu.

"Pertubuhan media global perlu mempertanggungjawabkan kita (kerajaan) untuk bekerja ke arah matlamat ini, kerana mereka (media) perlu memastikan kerajaan bertanggungjawab dalam menyediakan keelamatan dan kehidupan yang lebib baik kepada rakyat mereka," tambahnya. Perdana Menteri turut mencadangkan supaya media berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan, terutama dalam konteks negara membangun.

"Di Malaysia, sebagai contohnya, kami telah mengambil langkah proaktif untuk mencapai hasrat kami untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Untuk menyokong objektif ini, saya telah memperkenalkan pelbagai program untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi menerusi Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi," kata beliau.

Perdana Menteri berkata media perlu menerangkan berita secara jelas dan menyampaikan dengan tepat mengenai kepentingan program ekonomi dan sosial untuk meningkatkan kehidupan rakyat.

"Konsep ekonomi yang sukar perlu didefinisi dalam bahasa seharian dan berkongsi penerangan bagaimana perubahan jangka pendek boleh membawa kepada faedah jangka panjang.

"Dengan cara ini, media boleh memainkan peranan sebenar sebagai pemangkin kepada pembangunan," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain