suria

Sindiket Palsu Dokumen Imigresen Tumpas, Empat Ditahan

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan pelbagai dokumen jabatan itu, selepas menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita rakyat tempatan dalam Ops Serkap, petang Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Raja Mohd Raja Ismail berkata semua suspek ditahan pada kira-kira pukul 4.45 petang di Taman Desa, Kuchai Lama di Kuala Lumpur.

Katanya dalam operasi itu pihaknya merampas 30 pasport asing, 817 pelekat keselamatan, 43 kad pekerja dan 15 cop palsu jabatan imigresen, dan nilai rampasan dianggar RM3 juta.

Beliau berkata wanita yang ditahan itu merupakan pemilik premis berkenaan dan pihak imigresen sedang berusaha memburu lebih 10 lagi yang dipercayai anggota sindiket.

"Jumlah rampasan lebih RM3 juta itu merupakan yang terbesar dirampas oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan sepanjang tahun ini," katanya dalam satu persidangan akhbar di sini, Jumaat.

Raja Mohd berkata penahanan kesemua suspek adalah hasil intipan oleh pihaknya selama dua bulan, dan jabatan imigresen percaya sindiket ini sudah beroperasi sejak lebih setahun lepas.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan itu akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 dan penjara 10 tahun serta enam sebatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain