suria

Perhilitan Perak Rampas 153 Tenggiling, Tahan Tiga Warga Indonesia

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas 153 ekor tenggiling bernilai kira-kira RM200,000 dan menahan tiga lelaki warga Indonesia, yang disyaki ingin menyeludup masuk haiwan berkenaan, di perairan negara berhampiran Lumut, Khamis.

Pengarah Perhilitan negeri Shabrina Mohd Shariff berkata mereka ditahan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia yang mendapati bot dinaiki ketiga-tiga warga Indonesia yang berasal dari Belawan, Sumatera itu melepasi 12 batu nautika dari sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

"Kapal peronda Laksamana Hang Nadim yang meronda di kawasan tersebut mendapati bot yang dinaiki tiga orang telah melepasi sempadan dan bertindak menahan bagi pemeriksaan," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan ketika ditahan, mereka sedang menunggu pembeli datang mengambil haiwan berkenaan yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Shabrina berkata pihak TLDM kemudian menyerahkan kesemua suspek kepada Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut kerana melanggar Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (686). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain