suria

Laporan Siasatan Audit PKNS, Yayasan Selangor Diserah Kepada Kerajaan Negeri

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menerima laporan siasatan audit yang dilakukan terhadap dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor, Khamis.

Siasatan audit itu dipercayai dilakukan ekoran kontroversi perbelanjaan yang melanda kedua-dua anak syarikat kerajaan negeri Selangor baru-baru ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, laporan audit PKNS serta Yayasan Selangor akan diedarkan kepada umum pada 5 Januari depan, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat beberapa pengumuman yang berkaitan dalam masa terdekat.

Yayasan Selangor disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 bagi majlis ulang tahunnya yang ke-40 sehingga menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kos penganjuran.

Selain itu, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan berikutan dakwaan salah guna kuasa, termasuk tajaan jamuan majlis perkahwinan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dilaporkan bernilai lebih RM500,000.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan negeri sedang meneliti laporan audit, termasuk syor oleh Jabatan Audit Negara cawangan Selangor dan Bahagian Audit Dalaman kerajaan negeri, untuk dipertimbangkan sebelum tindakan lanjut diambil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain