suria

Noor Azam Terkilan Tidak Dapat Selamatkan Wanita Dijadikan Tebusan

SHAH ALAM: Rasa terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan seorang wanita yang dijadikan tebusan dua perompak dalam kejadian di kawasan perumahan Seksyen 13 di sini pada 2008 merupakan antara perasaan yang paling terkesan bagi bekas Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner (ACP) Noor Azam Jamaluddin.

Beliau berkata sehingga sekarang rasa terkilan itu masih dirasakan sepanjang tempoh hampir empat tahun beliau menggalas jawatan itu.

"Saya masih ingat peristiwa itu dan ralat sebab tidak dapat selamatkan mangsa yang bergelut dengan dua perompak agresif dan bertindak ganas yang menikam wanita terbabit," katanya ketika ditemui selepas majlis serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Shah Alam di sini, Selasa.

Noor Azam menyerahkan tugasnya kepada Ketua Polis Daerah yang baru Supritendan Zahedi Ayob pada majlis yang disaksikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Senior Asisten Komisioner (SAC) Jamaluddin Abd Majid.

Zahedi sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Sepang sejak tujuh tahun lepas.

Noor Azam berkata kejadian dua tahun lepas itu berlaku dalam bulan Ramadan dan wanita terbabit mati di hospital akibat ditikam dan dikelar penjenayah ketika mangsa dan keluarganya sedang bersahur.

Beliau berkata trend jenayah hari ini yang banyak membabitkan golongan remaja termasuk pelajar sekolah juga amat membimbangkan dan semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat perlu melakukan sesuatu.

"Saya bimbang sebab mereka yang terbabit dalam jenayah ini masih terlalu muda, ada kes mangsa dirogol pada usia 14 tahun dan perogolnya pula semuda 16 tahun dan masih bersekolah," katanya yang dinaikkan pangkat dan masih menunggu penempatan baru tugasnya.

Noor Azam berkata antara cabaran lain ialah faktor Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor yang menjadi pusat tumpuan termasuk ekonomi, politik dan sukan di mana pelbagai kejadian boleh berlaku.

Sementara itu, Zahedi berkata beliau yakin pengalaman bertugas selama 13 tahun di Selangor akan membantunya menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam yang baru. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Sah Presiden Baru Kita

Artikel Berikut

Artikel Lain