Dasar Beli Terus Hasil Penulisan Akan Diaktifkan Semula - Rais - Semasa | mStar

Dasar Beli Terus Hasil Penulisan Akan Diaktifkan Semula - Rais

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengaktifkan semula dasar membeli terus hasil penulisan daripada penulis bagi melindungi kepentingan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata dasar yang diperkenalkan dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kira-kira lima tahun lepas bagi melindungi penulis daripada penerbit dan pengedar yang cuba mengaut keuntungan tinggi daripada karya mereka.

"Kami di kementerian akan cuba menyusun kembali supaya dasar membeli terus buku-buku dari penulis di Malaysia dihidupkan semula, atau disambung terus setelah ia terabai sebentar oleh kerana beberapa perkara berkaitan teknikal, dan juga pandangan yang tidak terselaras oleh beberapa pihak.

"Dasar ini sudah dibuat pada tahun 2006, jadi ia hanya untuk mengingatkan semula supaya di samping membeli buku dari penerbit, kita juga perlu terus membeli buku dari penulis sebab keadaan penulis di negara ini agak daif," katanya ketika melancarkan buku "The Times and Chimes of Joe Chelliah: Notes of A Malaysian Musician" dan Pendidikan Muzik Kontemporari Karya Johami Abdullah @ Joe Chelliah" di Galeri Kompleks Sultan Abdul Samad di sini Jumaat.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara Datuk Khalid Yunus.

Rais berkata PNM akan diminta membuat beberapa rumusan bagi memudahkan kementerian mengumpul maklumat sebelum cadangan mengaktifkan semula dasar itu dibawa ke perhatian jemaah menteri dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, kadar maksimum bagi pembelian satu judul hasil penulisan mengikut dasar berkenaan ialah RM25,000.

Beliau juga berkata hasrat mengaktifkan semula dasar itu adalah tepat bagi memenuhi permintaan kerana data PNM menunjukkan terdapat peningkatan minat membaca di kalangan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas, yang membaca lebih daripada dua naskhah buku setahun, selain kewujudan 1,008 perpustakaan di seluruh negara.

"Malah telah dicatatkan jumlah buku yang dibaca sebahagian besar masyarakat ialah di antara lapan ke sepuluh buah buku setahun. Jadi, dengan peralihan data seperti ini, saya yakin bahawa penerbitan buku dan majalah dapat kita galakkan," katanya.

Rais berkata sebagai rangsangan, penulis kreatif boleh memohon peruntukan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta jika berhasrat menghasilkan karya berbentuk cereka, novel atau skrip televisyen dan filem berkualiti, yang boleh dianggap sebagai penulisan kreatif.

"Kita inginkan beberapa genre penulisan lagi supaya tahap penulisan kreatif ini dapat mencapai satu keseronokan dan tarikan kepada rakyat yang mencantumkan citarasa kita, dan sebab itulah dana yang saya sebutkan tadi relevan untuk kita pohon sekiranya ada pihak yang ingin menjadikannya sebagai skrip filem atau tv," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai pandangan kerajaan dan kementerian berhubung pendedahan Wikileaks tentang penglibatan dua syarikat berpangkalan di Malaysia, yang dinamakan Amerika Syarikat sebagai firma yang dikawal oleh rangkaian Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China, Rais berkata penjelasan serta penafian Malaysia telah dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata kementeriannya tidak terlibat dalam isu itu sama ada menerusi siasatan atau di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

Rais berkata kerjasama dua syarikat seperti yang didakwa laman web berkenaan hanya dalam bentuk perniagaan dan hubungan korporatnya juga tidak boleh dilihat sebagai satu bidang di bawah kawalan kerajaan.

Wikileaks merupakan sebuah laman web yang memberi maklumat pelbagai perkara termasuk yang diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia besar sesebuah negara atau organisasi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Bagi Samy Vellu, Urusan Berjalan Seperti Biasa

Artikel Berikut

Doktor Klinik Swasta Di Tawau Mati Dibunuh

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain