suria

Komponen BN Setuju Terima Keahlian Terus

KUALA LUMPUR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan cadangan menerima keahlian terus menyertai parti itu selaras dengan perubahan suasana politik semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, persetujuan itu dicapai selepas pihaknya meneliti setiap pandangan dan teguran yang dikemukakan oleh pemimpin daripada 13 parti komponen BN.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat beberapa kebimbangan yang disuarakan oleh parti komponen BN namun telahpun diatasi dengan penambahbaikan tertentu.

"Kita tengok dari segi penerimaan mereka okey selepas banyak perbincangan dibuat.

"Hingga sampai ke tahap ini, banyak perkara-perkara yang mungkin menjadi kebimbangan mereka... ada yang telah kita ketepikan daripada awal lagi, ada yang kita ubah suai kerana ini adalah prosesnya," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN di sini, Jumaat.

Bagaimanapun Hishammuddin menegaskan maklumat terperinci mengenai perkara berkenaan hanya akan diputuskan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Sabtu.

"Keputusan muktamad sama ia diterima ataupun tidak hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi esok... kita ada prosesnya, tapi yang pasti ini (pindaan Perlembagaan) bukan gimik politik," katanya.

BN akan mengadakan konvensyennya pada 28 November ini untuk membincangkan cadangan meminda Perlembagaan BN bagi menerima individu, parti politik atau NGO yang menyokong BN menjadi ahlinya secara terus.

Cadangan pindaan yang dicetuskan oleh Najib itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada parti-parti politik, NGO dan individu yang cenderung menyokong BN tanpa menyertai mana-mana parti komponen BN.

Ditanya sama ada pihaknya turut mengambil kira kebimbangan yang disuarakan oleh komponen BN sebelum ini khususnya berhubung hak ahli bersekutu BN bertanding dalam pilihan raya, Hishammuddin berkata: "Semuanya kita ambil kira... semuanya."

Tambahnya lagi, walau apa jua pindaan yang dilakukan dalam Perlembagaan BN, ia berasaskan kepada prinsip mahu memastikan parti ini terus kekal releven.

"Yang paling penting untuk parti ini sentiasa releven, ini penting kerana pada akhirnya kita nak menang pilihan raya... orang ramai mesti terima konsep BN.

"Apa jua keputusan yang kita buat jangan sampai mengikat kita dan menjejaskan BN untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membincangkan mengenai draf piagaan BN yang akan dibentangkan pada konvensyen parti itu minggu hadapan.

"Kita juga bincang mengenai analisa pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas serta mengenai susunan dan aturan untuk konvensyen," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain