suria

Zaid Umum Keluar PKR 16 Disember, Tubuh Parti Baru...

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim pada Jumaat secara rasminya mengisytiharkan keluar daripada parti itu - 18 bulan selepas menyertainya.

Surat mengenai keputusannya untuk meninggalkan PKR telah dihantar ke Ibu Pejabat parti itu hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya di Tropicana di sini, Zaid mengumumkan bahawa pengundurannya daripada PKR akan berkuat-kuasa pada 16 Disember depan.

"Tak ada apa-apa signifikan dengan tarikh 16 Disember, kalau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) suka tarikh 16 September...saya pula suka 16 Disember," katanya dalam nada sinis pada sidang akhbarnya itu.

Zaid sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan timbalan presiden minggu lalu kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan kepimpinan parti yang didakwanya dicemari unsur penipuan.

Mengulas mengenai pengundurannya itu Zaid berkata beliau kecewa apabila beberapa pemimpin kanan PKR menuduhnya berniat jahat dan cuba merosakan parti.

"Saya telah dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan PKR dengan tujuan untuk menggambarkan saya ini pengkianat parti dan berniat jahat.

"Jadi agaklah sukar untuk saya terus (berada) dalam parti di mana pemimpin-pemimpin kanan telah menganggap saya sebagai orang jahat, eloklah saya berhenti daripada parti ini," katanya.

Sebaliknya Zaid berkata beliau tidak pernah mempunyai sebarang niat jahat terhadap parti itu kerana yakin bahawa PKR merupakan parti yang akan memperjuangkan kebenaran dan ketelusan.

"Saya tidak pernah berniat jahat terhadap parti. Saya masuk PKR bersama anak-anak saya sebagai ahli seumur hidup.

"Saya bayar yuran yang tinggi kerana pada masa itu saya ingat inilah parti yang memperjuangkan kebenaran dan ketelusan dan memberi harapan baru kepada rakyat di negara ini... saya amat kecewa bila dituduh sedemikian," katanya.

Serentak dengan itu juga, beliau turut mengumumkan hasratnya untuk menubuhkan sebuah parti baru dalam masa terdekat.

Malah Zaid turut mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas tiket parti barunya itu.

"Saya akan bekerja dengan penyokong saya, saya akan siap sediakan diri untuk pilihan raya akan datang, kalau ada kemampuan dan sokongan kami akan tubuhkan parti baru.

"Jadi rakyat ada pilihan, siapa yang mahu kongsi angan-angan bersama Anwar mereka boleh teruskan, siapa yang mahu melihat politik sebenar dalam negara yang berteraskan prinsip, mereka mungkin boleh pilih parti saya...saya akan bertanding," katanya.

Ditanya mengenai ideologi parti barunya itu, Zaid berkata: "Ideologi kena tunggu dulu. Saya banyak bercakap mengenai perjuangan yang berteraskan kepada kebenaran, perkara yang betul, demokratik, parti yang tak ada banyak sangat kerenah serta parti yang berteraskan isu-isu pentig untuk rakyat."

Berhubung kemampunya untuk bertanding tanpa jentera yang kukuh, Zaid berkata beliau yakin rakyat akan membuat pilihan berdasarkan perjuangan yang akan dibawanya.

"Saya mungkin tak ada sekarang (jentera), tapi mungkin akan ada kemudian. Dari segi pilihan raya kita tidak terlalu memikirkan boleh menang berapa kerusi atau majorit...apa yang perlu ialah sediakan perjuangan dan mesej.

"Itu yang lebih penting, kita cuba terangkan apakah perjuangan parti sebenar dan insyaAllah akan mendapat sokongan," katanya.

Ditanya sama ada parti barunya itu menyokong sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, Zaid berkata: "Kita saya mahu berkawan dengan semua, saya berjuang kepada benda benar sepeti isu tertentu.

"Kalaulah ada pemimpin yang cakap karut dan cakap perkara tak betul, saya tak sokonglah...tak kira BN atau pakatan, itu perjuangan saya."

Diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding atas tiket bebas pada pilihan raya umum akan datang sekiranya gagal menubuhkan parti barunya dalam masa terdekat beliau berkata perkara itu mungkin pilihan terakhirnya.

"Saya rasa susah juga nak gagal sebab banyak parti di Malayisa, tapi kalau terpaksa...bebaslah.

"Tapi eloklah kita bertanding di bawah satu label, ada kawan-kawan lebih bersemangat, kalau bebas keseorangan sangat. elok kalau ada kawan-kawan dan pengikut yang besar," katanya.

Artikel Lain