suria

Kecoh Dalam PKR Bukan Sesuatu Yang Aneh - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kekecohan dan kontroversi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini bukan suatu yang mengejutkan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, PKR merupakan parti rapuh tanpa ideologi dan perjuangan untuk membela nasib rakyat, maka tidak hairan pemilihan yang sedang diadakan parti amat kalut kebelakangan ini.

"Memang kita tahu perkara ini akan berlaku dan ia berlaku lebih awal dari apa yang kita jangka.

"PKR ditubuhkan tanpa visi, idealisme dan perjuangan untuk rakyat serta negara. Tertubuhnya parti itu hanya untuk mempergunakan parti supaya ada individu tertentu jadi Perdana Menteri," katanya selepas menghadiri majlis korban sempena Aidiladha di sini pada Rabu.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 18 ekor lembu ditumbangkan sebelum diagih-agihkan kepada penduduk.

Hadir sama termasuk Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Hamid; Ketua Pemuda bahagian, Norizan Ali dan Ketua Puteri, Norshamsi Omar Talib.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tindakan bekas Ketua Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang menarik diri dari merebut jawatan timbalan presiden dan akhirnya meninggalkan PKR kerana tidak puas hati dengan sistem pemilihan yang didakwa mempunyai unsur penipuan.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebuah parti tanpa ideologi seperti PKR tidak akan mampu bertahan lama walau siapa pun yang dipilih selaku pemimpin.

Selaku ahli politik dan sering mengikuti perkembangan melalui pembacaan, beliau berkata, cara pemilihan pemimpin yang dipraktikkan parti pembangkang itu dapat diibaratkan sebagai perkara yang dilakukan secara 'main-main'.

Selain itu, tohmahan, ketiadaan peraturan dan sistem dalam PKR yang disifatkan sebagai caca-merba secara tidak langsung menyebabkan rakyat sedar akan pergolakan yang sedang berlaku dalam parti tersebut.

Justeru katanya, rakyat tidak akan memberi kepercayaan walau siapa pun yang dipilih sebagai pemimpin dalam PKR.

"Bagi saya, siapa pun yang dipilih dan siapa yang menang pun, dia tak hebatlah, tak harus dipandang serius.

"Macam mana nak jadi kerajaan, nak urus pemilihan dalam parti pun kecoh begini? Macam mana nak tadbir rakyat dan negara," tegasnya.

Artikel Sebelum

Zaid Kembali Adakan Sidang Media

Artikel Berikut

Artikel Lain