suria

Nelayan Warga Myanmar Dipenjara 14 Tahun Miliki Dadah

SHAH ALAM: Seorang nelayan warganegara Myanmar dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah memiliki 22.9 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines di sebuah rumah di Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam, November tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memerintahkan tertuduh, Ba Phya, 53, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian iaitu 15 Nov tahun lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No 5, Jalan 4, Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam, kira-kira 5.30 pagi pada 15 Nov.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum menurut Seksyen 39 A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Tertuduh bagaimanapun tidak dikenakan hukuman sebat kerana berumur melebihi 50 tahun.

Peguam bela Ba Phya, K.A.Ramu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh dan lapan tahun atas alasan tertuduh mempunyai isteri dan tiga anak perempuan berumur 19, 24 dan 26 tahun di Myanmar.

Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh sebagai seorang bapa yang matang sepatutnya memikirkan tentang kesan kesalahan yang dilakukannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain