suria

Penerbangan MAS Ke Jakarta, Bandung, Yogyakarta Terjejas Disebabkan Abu Gunung Berapi

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines telah membatalkan atau menangguhkan penerbangannya ke dan dari Jakarta, Bandung dan Yogyakarta disebabkan oleh gangguan abu gunung berapi. Pembatalan itu akan dibuat sehingga keadaan bertambah baik, kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan, Sabtu.

Ketika ini, penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Jakarta dijangka dibatalkan, Sabtu (6 November) dan pagi esok(7 November). Malaysia Airlines berkata ia akan terus memantau situasi ruang udara Indonesia bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan memasuki ke kawasan itu selepas 7 November.

Berikut adalah penerbangan yang terjejas:

*Kuala Lumpur - Jakarta (MH723, MH725, MH727) dijadualkan berlepas 6 Nov akan dibatalkan;

*Jakarta - Kuala Lumpur (MH722, MH724) dijadualkan berlepas 6 Nov akan dibatalkan; *Jakarta - Kuala Lumpur (MH726) dijadualkan berlepas 7 Nov juga akan dibatalkan;

*Kuala Lumpur - Yogyakarta (MH857) akan ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberitahu kelak;

*Yogyakarta - Kuala Lumpur (MH856) akan ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberitahu kelak;

*Kuala Lumpur - Bandung (MH859) akan ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberitahu kelak; dan

*Bandung - Kuala Lumpur (MH858) akan ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberitahu kelak.

Pengarah Operasi Malaysia Airlines Kapten Azharuddin Osman berkata abu gunung berapi di laluan udara yang menyelubungi Jakarta boleh menyebabkan kerosakan teruk kepada pesawat dan enjin Malaysia Airlines yang boleh membahayakan keselamatan operasinya termasuk penumpang dan anak kapal.

Seperti biasa, keselamatan adalah keutamaan utama syarikat penerbangan itu, katanya.

"Kami hanya akan boleh mengesahkan jadual penerbangan sebaik sahaja situasi telah bertambah baik dan kebenaran daripada pihak berkuasa penerbangan awam berkaitan telah diterima. Sementara itu, kami akan terus memantau dengan rapat situasi itu," katanya.

Para penumpang bagi penerbangan yang terjejas itu diberikan tiga pilihan: *Mendapat semula bayaran balik penuh bergantung kepada terma dan syarat jenis tambang;

*Pertukaran tiket untuk terbang ke Surabaya (Bagaimanapun, pengaturan perancangan darat tidak akan diliputi); atau

*Menempah semula penerbangan yang tersedia seterusnya.

Oleh kerana situasi masih tidak menentu, Malaysia Airlines menasihati penumpang memeriksa status penerbangan di www.malaysiaairlines.com sebelum datang terus ke lapangan terbang.

Selain itu, penumpang juga boleh menghubungi Pusat Panggilan MAS di talian 1300-88-3000 (dalam Malaysia), +603-7843 3000 (luar Malaysia) - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain