suria

Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Bekas Guru Untuk Cabar Pemecatannya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Khamis menolak permohonan seorang bekas guru untuk mencabar keputusan kerajaan berhubung pemecatannya daripada perkhidmatan.

Dalam saman pemulanya, Abdul Razak Baharudin, 51, seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memohon perisytiharan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan telah memecat beliau secara tidak adil dan pemecatan itu bertentangan dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamar.

Ketika ditanya mengenai keputusan itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili JPA dan kerajaan, berkata hakim menegaskan bahawa Abdul Razak sepatutnya memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman mengikut Perintah 53 Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 untuk mencabar keputusan itu, dan bukan melalui saman pemula.

Shamsul berkata hakim turut memutuskan bahawa Abdul Razak telah menamakan pihak yang salah dalam saman itu.

"Dia sepatutnya menamakan Lembaga Tatatertib Pendidikan dan bukannya JPA. Sekalipun JPA bertanggungjawab terhadap pemecatannya, dia sepatutnya menamakan Ketua Pengarah JPA," kata Shamsul.

Mengenai tuntutan Abdul Razak terhadap tunggakan pencen dan emolumen, Shamsul berkata hakim memutuskan bahawa menjadi kuasa mutlak kerajaan sama ada seseorang itu layak menerimanya.

Dalam saman pemula itu, yang difailkan pada 4 Disember tahun lepas, Abdul Razak berkata beliau ditahan mengikut ISA di Pusat Tahanan Kamunting selama lebih dua tahun mulai 22 Februari 2002.

Katanya, beliau dipecat oleh defendan berkuat kuasa 7 September 2004 menurut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Abdul Razak, yang pernah bertugas sebagai guru di SK Jalan Kebun di Klang, berkata beliau berhak untuk mendapat emolumen sungguhpun selepas defendan menggantung beliau daripada pekerjaannya dari 22 Februari 2002 sehingga 2004.

Beliau kemudiannya mendapati dua lagi guru, yang ditahan mengikut ISA, ditamatkan perkhidmatan tetapi layak mendapat pencen dan faedah lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain