suria

JKM Kelantan Sedia Tambah Peruntukan Bantu Mangsa Banjir

PASIR MAS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan bersedia untuk menambah peruntukan sebanyak RM50,000 lagi bagi menyediakan barangan keperluan asas untuk mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di negeri ini.

Pengarah JKM Mohd Noor Chik berkata antara barangan keperluan asas yang disediakan ialah beras, sardin, minyak masak dan biskut.

"Kami bersiap sedia untuk menambah peruntukan RM50,000 lagi bagi membeli barangan untuk mangsa banjir bagi menampung keperluan mereka.

"Ini prosedur biasa sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bencana alam negeri baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata sebelum ini JKM telah menyediakan barangan keperluan bernilai RM100,000 di 172 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini dan sebahagian daripada barangan itu telah diagihkan kepada mangsa banjir yang kini berada di pusat pemindahan di jajahan Pasir Mas.

Mohd Noor berkata 715 pusat pemindahan banjir, terdiri daripada sekolah, balai raya dan masjid yang disediakan di negeri ini boleh menampung 105,000 mangsa pada satu masa.

"Kami tetap mengiktiraf tempat yang dijadikan pusat pemindahan sementara seperti rumah penduduk di kawasan selamat dan tempat tinggi dan bantuan juga akan diberikan kepada mereka yang terlibat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain