suria

Industri Keluli Dijangka Pulih Dengan Projek Dalam Bajet 2011, Kata Najib

PETALING JAYA: Kerajaan yakin industri keluli dalam negara pada kedudukan yang baik untuk pulih dengan kukuh dengan pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan pembinaan di bawah Bajet 2011. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus membantu industri besi keluli bagi memastikannya lebih kompetitif.

Beliau berkata kerajaan akan terus engadakan dialog dan mengkaji semula dasar yang melibatkan pelaksanaan projek-projek pembinaan dan infrastruktur sektor awam serta mengenai pelancaran rancangan pembinaan yang diumumkan di bawah pakej rangsangan dan Bajet 2011.

"Memandangkan Malaysia mempunyai rizab bijih besi dan arang batu yang besar yang relevan kepada pembuatan keluli, kerajaan persekutuan akan membantu menggalakkan negeri-negeri dengan rizab bijih besi untuk memperuntukkan lebih banyak tanah saiz ekonomi kepada pengeluar keluli tempatan untuk melaksanakan perlombongan komersial bagi meningkatkan operasi pembuatan keluli mereka," kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Persatuan Besi Keluli Malaysia di sini Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib berkata kerajaan akan membantu industri tempatan meningkatkan kelebihan persaingan mereka setakat yang mungkin, termasuk membantu mereka mendapatkan bekalan dalam negara seperti skrap yang diperlukan oleh pembuatan keluli. Dalam hal ini, kerajaan akan mengkaji struktur duti bagi bijih besi dan juga skrap dengan tujuan mewujudkan bekalan bahan mentah penting bagi kegunaan utama industri tempatan, kata beliau. "Memandangkan penggunaan elektrik yang tinggi oleh kilang keluli dan penggantungan gas asli sebagai bahan untuk operasi pembuatan keluli, saya akan mengambil perhatian mengenai permintaan pengeluar supaya kerajaan menetapkan tarif yang setanding dengan negara-negara jiran dan negara pengeluar gas asli, bagi mewujudkan tempat persaingan yang sama bagi industri keluli kita.

"Saya juga akan meminta pihak yang berkenaan supaya melihat kepada permintaan untuk melanjutkan kadar bukan waktu puncak kepada Sabtu, Ahad dan cuti umum," katanya. Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyokong pengeluar keluli untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong amalan membeli barangan tempatan dan akan tentunya menggalakkan kerajaan dan projek quasi kerajaan supaya menggunakan produk yang dihasilkan dalam negara.

"Ini bukan sahaja menjimatkan tukaran asing untuk negara, tetapi juga membantu kilang tempatan menggunakan kemampuan pengeluaran mereka yang akan membantu mereka mencapai skala ekonomi yang lebih baik," katanya. Mengenai lambakan keluli import yang murah di pasaran Malaysia, Najib berkata kerajaan komited untuk tidak membenarkan produk keluli yang kurang berkualiti dilambakkan di dalam negara.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan pihak berkuasa yang berkenaan supaya mengambil langkah sewajarnya melalui penguatkuasaan berhubung standard kualiti terhadap produk keluli yang dikeluarkan dalam negara dan diimport bagi menghalang pasaran dibanjiri dengan bahan yang kurang standard.

Mengenai penubuhan Persatuan Besi Keluli Malaysia, Najib berkata ia seiring dengan konsep "Glocal", berfikir secara global dan bertindak secara global. - BERNAMA

Artikel Lain