suria

Polis Tahan Dua Lelaki Cuba Jual Tiket Palsu

KOTA BHARU: Polis telah menahan dua lelaki serta merampas 393 keping tiket palsu bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan, yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Selangor Sabtu.

Ketua Daerah Polis Kota Baharu Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata kedua-kedua lalaki berusia 57 dan 46 tahun itu ditahan di dua tempat berasingan di sini pada 7.30 malam Jumaat, sebaik menerima maklumat orang ramai mengenai penjualan tiket bola sepak palsu itu.

"Kedua-dua lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan, dan direman hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, polis mendapat maklumat mengenai kegiatan itu yang dikesan di Rantau Panjang dan membuat pemantauan sebelum menahan suspek berusia 57 tahun itu. "Pada lelaki itu, polis merampas sekeping tiket dipercayai palsu," katanya.

Zahruddin berkata suspek berkenaan membawa polis kemudian ke satu tempat di mana seorang lagi lelaki berusia 46 tahun, dipercayai rakan lelaki itu, dan merampas 392 keping tiket yang dijual pada harga RM30 setiap satu.

Katanya, siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berhati-hati dan tidak tertipu dengan penjualan tiket palsu daripada individu yang tidak dikenali. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain