suria

Lawatan Clinton Gambarkan Hubungan Kian Berkembang

KUALA LUMPUR: Lawatan sulung setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) Hilary Rodham Clinton ke Malaysia minggu depan bakal memperlihatkan gambaran penuh hubungan kian berkembang antara kedua-dua negara, kata penolong setiausaha Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik di Jabatan Negara AS, Kurt M. Campbell.

Dalam satu taklimat di Washington DC baru-baru ini mengenai kunjungan tersebut, beliau berkata Clinton akan berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kabinetnya mengenai pelbagai isu.

"Terdapat beberapa negara sahaja yang mempunyai hubungan dua hala seperti dimiliki Amerika Syarikat dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata selain itu, terdapat perkembangan besar dalam isu seperti pengawalan senjata pemusnah, penyelarasan politik dan dialog strategik antara kedua-dua negara.

Hubungan Malaysia dengan AS bertambah kukuh selepas pertemuan pertama Najib dan presiden Barack Obama pada April lepas.

Pada pertemuan itu, Obama memuji Najib kerana memperkenalkan undang-undang bagi pengawalan senjata pemusnah.

Kerajaan AS melihat ekonomi Malaysia yang giat berkembang, sistem demokrasi dan kesanggupan Malaysia bekerjasama dalam soal keselamatan utama selain isu multilateral sebagai asas ke arah perkongsian dua hala lebih kukuh.

Mengenai kunjungannya ke beberapa negara Asia baru-baru ini, Clinton berkata pentadbiran Obama sejak dari mula lagi telah menyedari bahawa sejarah abad ke-21 akan dilakarkan di Asia.

"Rantau ini akan menyaksikan perubahan terbesar dalam perkembangan ekonomi dunia. Kebanyakan bandarnya akan menjadi pusat global bagi perdagangan dan kebudayaan," katanya dua hari lepas di Hawaii.

Beliau berkata kerajaan AS turut mengambil beberapa siri tindakan bagi membina hubungan lebih kukuh dengan Asean, kerana kumpulan itu dilihat sebagai fulkrum bagi kemunculan seni bina di Asia Tenggara.

AS merupakan rakan dagang dan niaga Malaysia ketiga paling utama, dengan jumlah eksport negara melebihi AS$25 bilion setahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain